KUALA LUMPUR: Polis telah mengenalpasti individu yang bertanggungjawab menghantar seorang lelaki dan seorang wanita di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lepas sebelum mereka mengamuk.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata individu tersebut dikesan melalui siasatan polis sejurus selepas kejadian itu.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit kerana dikhuatiri akan menjejaskan siasatan.
"Kita sekarang sedang mencari pemilik kenderaan yang menghantar pasangan itu. Kita juga turut menyiasat latar belakang lelaki dan wanita yang mengamuk itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya "Imam Mahadi" dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.
Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
kerengga
-Bernama-